Semasa bertugas di sekolah lama dahulu, saya pernah ditanya oleh Guru Besar dengan soalan-soalan berikut :
- Mengapa saya turut berbaring bersama-sama murid semasa belajar?
- Mengapa kelas berselerak dengan permainan?
- Mengapa tiada lembaran kerja disediakan untuk murid?
Soalan-soalan ini memang dijangka akan ditanya oleh sesiapa pun yang lalu di hadapan kelas Pemulihan saya ketika itu kerana sistem pembelajaran saya di kelas Pemulihan berbeza dengan kelas-kelas normal yang lain.
Sebenarnya, memang itulah gaya belajar murid di kelas Pemulihan. Saya mengajar mereka mengikut kesesuaian dan cara belajar yang mereka inginkan. Sebagai seorang guru, saya faham tidak semua murid akan menerima pelajaran secara teori, lebih-lebih lagi jika itu murid Pemulihan.
Saya memilih mengajar murid ini melalui teknik permainan. Teknik ini bukan bermain semata-mata. Namun, ada diselitkan unsur pengajaran dan pembelajaran.
Contohnya, permainan DAM ULAR, murid mesti faham peraturan permainan. Kemudian melakukan lontaran untuk menggerakkan buah permainan. Jika mereka tiba di satu tempat, mereka akan diuji dengan satu teka teki sama ada soalan berbentuk ejaan perkataan dalam Bahasa Melayu atau pun soalan dalam bentuk ayat Matematik.
Jika di lihat dari sudut ‘bermain’ semata-mata, memang objektif pengajaran tidak akan tercapai. Tetapi, jika sasaran permainan tersebut sekurang-kurangnya murid dapat mengeja 10 patah perkataan dengan betul, tidak mustahil ianya akan tercapai dengan mudah berbanding meminta murid mengeja perkataan menggunakan kad perkataan.
Menggunakan permainan di kelas Pemulihan ada beberapa risiko yang perlu diketahui.
- Peralatan permainan boleh mendatangkan kecederaan
- Permainan akan berselerak di merata tempat dalam kelas
- Suasana bising menyelubungi kelas
Semua risiko ini boleh dielakkan apabila guru mengamalkan sistem kawalan kelas yang baik dan sempurna. Sentiasa memberi peringatan kepada murid akan peraturan sebelum, semasa dan selepas permainan.
INFO :
TAHUKAH ANDA??, Kajian tentang interaksi dalam kelas oleh Ned Flanders (1963) dan Wragg (1973) mendapati :
- 2/3 daripada semua pelajaran adalah percakapan guru.
- 2/3 daripada masa percakapan itu adalah percakapan guru.
- 2/3 daripada percakapan guru adalah dalam bentuk syarahan.
Dalam kelas Pemulihan, jika guru banyak bercakap, tidak banyak perkara dapat dilakukan dalam tempoh 60 minit waktu mengajar. Kebanyakan murid pula akan bosan dan mengantuk.
No comments:
Post a Comment